Sabtu, 20 Februari 2010

Aktiviti Hal Ehwal Murid


1. Pendaftaran dan Orientasi Tahun 1 dan Pra Sekolah

Pendaftaran dan orentasi tahun 1 dan Prasekolah ini dijalankan sehari sebelum sesi persekolahan awal tahun bermula. Murid-murid Tahun 1 diberikan pendedahan awal tentang kelas dan kawasan persekitaran sekolah bagi membiasakan mereka dengan suasana persekolahan yang baru.

2. Kursus Kepimpinan Pengawas, Ketua Darjah dan Penolong Ketua Darjah
Kursus ini diadakan bagi memberi pendedahan ciri-ciri kepimpinan dan motivasi kepada pengawas, ketua dan penolong ketua kelas. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menerapkan ciri-ciri dan nilai kepimpinan dalam kalangan mereka bagi memastikan mereka dapat menjalankan tugas dengan baik seperti yang diamanahkan.

3. Watikah Perlantikan Pengawas, Ketua Darjah dan Penolong Ketua Darjah
Sekolah juga menjalankan perlantikan pengawas, ketua darjah dan penolong ketua darjah pada awal tahun sesi persekolahan pada setiap tahun. Perlantikan ini bagi memberikan perlantikan secara rasmi murid-murid yang telah dipilih menjawat jawatan-jawatan tersebut.

4. Sambutan Hari Guru
Sambutan diadakan pada 16 Mei setiap tahun yang bertujuan memberi penghargaan kepada guru-guru selain memberi peluang kepada murid-murid mengucapkan terima kasih kepada guru-guru yang mengajar mereka.

5. Latihan Kebakaran
Latihan kebakaran diadakan sekurang-kurangnya dua kali setahun, iaitu sekali pada penggal pertama dan sekali pada penggal kedua. Pihak sekolah juga memanggil Jabatan Bomba berhampiran untuk memberikan ceramah keselamatan dan teknik-teknik memadam api dengan betul.

6. Sambutan Bulan Kemerdekaan
Pihak sekolah menjalankan aktiviti sambutan bulan kemerdekaan bermula pada 19 Ogos hingga 19 September setiap tahun. Selain itu, pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang sambutan dijalankan seperti perasmian pengibaran Jalur Gemilang, Sambutan 31 Ogos, Penutup Sambutan Bulan Kemerdekaan. Selain itu, acara-acara lain yang turut dijalankan adalah seperti nyanyian lagu patriotik, pertandingan hiasan kelas bertemakan kemerdekaan, pertandingan melukis poster dan pelbagai lagi.

7. Sambutan Hari Kanak-Kanak
Pada setiap tahun, pihak sekolah menyambut hari kanak-kanak dan hari kokurikulum dengan bergabung bersama unit kokurikulum. Pelbagai aktiviti dijalankan seperti sukaneka, sukan, persembahan dan pelbagai lagi.

8. RMT
Hanya tiga orang murid dari sekolah ini telah mendapat RMT. Murid-murid tersebut diberikan makanan pada awal pagi sebelum sesi persekolahan bermula.

9. Program Imunisasi Murid Tahun 1 dan 6
Program Iminusasi Murid Tahun 1 diberi pada awal tahun dan untuk murid Tahun 6 pada pertengahan Tahun. Kedua-dua Imunisasi ini diberi oleh klinik kesihatan yang berhampiran iaitu Klinik Kesihatan Seksyen 7, Shah Alam.

10. Rawatan Pergigian
Rawatan pergigian diberikan juga oleh klinik kesihatan berhampiran dan pihak sekolah telah menyediakan satu bilik khas untuk doktor berkenaan memberikan rawatannya. Rawatan ini diberikan sepanjang tahun.

11. Pendaftaran Murid Tahun 6 ke Tingkatan 1
Pihak sekolah juga membuat persediaan dan pendaftaran untuk murid-murid Tahun 6 ke Tingkatan 1. Biasanya borang-borang yang berkenaan akan mula diisikan selepas peperiksaan UPSR. Selain itu, pihak sekolah juga membantu murid-murid yang layak dan ingin memohon ke sekolah berasrama penuh.

12. Pertandingan Kebersihan Kelas
Pertandingan kebersihan kelas dijalankan sepanjang tahun. Kebersihan dinilai oleh pihak pentadbir dan kelas yang terbaik diberikan satu piala pusingan.


13. Gotong-royong Perdana Peringkat Sekolah
Pihak sekolah sering menjalankan gotong-royong perdana peringkat sekolah dengan kerjasama MBSA, Majlis Perwakilan Penduduk, dan pelbagai pihak lagi bagi memastikan kawasan persekitaran sekolah sentiasa bersih.

14. Bantuan Kebajikan Murid
Pihak sekolah juga mendapat bantuan sumbangan daripada pihak luar seperti PIBG, Kedai Buku Sekolah, Dominos dan pelbagai lagi dalam membantu murid-murid yang kurang berkemampuan. Bantuan-bantuan yang diberi seperti pembelian alat tulis dan peralatan sekolah, kasut, baju dan pelbagai lagi.

15. Program Maju Diri
Program Maju Diri dijalankan pada minggu kedua sesi persekolahan bermula. Murid-murid yang terlibat adalah di dalam kalangan murid-murid Tahun 4, 5 dan 6. Pelbagai aktiviti berbentuk motivasi dan ilmiah diberikan kepada murid-murid tersebut.

16. Sesi Kaunseling
Sekolah mempunyai dua orang guru kaunseling. Seorang di sesi pagi dan seorang di sesi petang. Guru kaunseling tersebut banyak menjalankan program kaunseling bagi membantu murid-murid terutama murid-murid yang bermasalah. Selain secara berkelompok, sesi kaunseling individu juga dijalankan.

17. Program RIMUP
Program integrasi kaum ini turut dijayakan oleh pihak sekolah. Pihak sekolah telah bekerjasama dengan sekolah-sekolah sekitar dalam pelbagai aktiviti bagi mengeratkan lagi hubungan antara kaum-kaum di Malaysia.

18. Program Ceramah Keselamatan Bersama Polis
Pihak sekolah sentiasa menjalinkan hubungan yang baik bersama pihak polis bagi menjamin keselamatan murid-murid sekolah terjaga. Pelbagai aktiviti dijalankan seperti ceramah keselamatan dan pameran-pameran dijalankan bagi memberikan pendedahan kepada murid-murid tentang keselamatan diri masing-masing.

19. Program bersama Klinik Kesihatan Daerah
Program ini dijalankan pada setiap tahun. Pelbagai aktiviti dijalankan seperti ceramah kesihatan, bantuan kecemasan dan pelbagai lagi dijalankan bagi memastikan murid-murid tahu cara menjaga kesihatan agar sentiasa sihat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan